Bot nelayan karam, lima mangsa selamat
Adie Sufian Zulkefli
Mac 21, 2024 10:30 MYT
Mac 21, 2024 10:30 MYT
ALOR SETAR: Lima nelayan tempatan berdepan detik cemas apabila bot yang mereka naiki mengalami kebocoran dan karam di kedudukan sembilan batu nautika barat laut dari muara Kuala Kedah, di sini pada Rabu.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, pihak Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi telah mengaktifkan Operasi CARILAMAT dan mengatur gerak bot Penggalang 35 ke lokasi pencarian pada pukul 6.30 pagi.
“Pada pukul 8.05 pagi, kelima-lima mangsa telah berjaya diselamatkan oleh sebuah bot nelayan tempatan yang berada di sekitar lokasi pencarian sebelum dipindahkan ke bot Maritim Malaysia.
“Kesemua mangsa berusia 34 hingga 39 tahun itu dibawa balik ke Jeti Batang Pinang, Kuala Kedah setelah pemeriksaan lanjut dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Azreyanti memaklumkan Maritim Malaysia khususnya Zon Maritim Kuala Kedah mengingatkan semua yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Personal Locator Beacon (PLB).
Zon Maritim Kuala Kedah juga memohon orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.