Bot nelayan ditahan di zon larangan, 600kg ikan dirampas

Aida Aziz
Januari 9, 2020 13:39 MYT
Bot ditahan kerana melakukan aktiviti menangkap hasil laut di zon larangan, iaitu di kedudukan lebih kurang 6 batu nautika barat daya Pulau Jarak. Foto Maritim Perak
Agensi Penguatkuasaan Maritim Negeri Perak menahan dua bot nelayan tempatan kelas C ketika menjalankan operasi yang dinamakan Op Sayong di sini, pada Rabu.
Bot itu ditahan kerana melakukan aktiviti menangkap hasil laut di zon larangan, iaitu di kedudukan lebih kurang 6 batu nautika barat daya Pulau Jarak.
Pengarahnya Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot ditahan ketika sedang menunda ikan dan hasil pemeriksaan mendapati, setiap bot mempunyai lima orang awak-awak, termasuk tekong warga Myanmar.
"Mereka yang ditahan, berusia lingkungan 21 hingga 46 tahun, berada di atas bot, dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan di bawah 15 batu nautika.
"Kedua-dua bot itu, bersama tekong dan awak-awak, dengan hasil tangkapan dianggarkan sebanyak 600 kilogram, dibawa ke Pusat Tahanan Vesel Kampung Acheh untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat, bagi siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Shahrizan mengingatkan khususnya pengusaha bot pukat tunda supaya mematuhi sistem pengezonan kawasan penangkapan ikan yang telah ditetapkan dalam syarat lesen vesel.
Orang awam juga diminta bekerjasama melaporkan sebarang kejadian menyalahi undang-undang, kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737.
#awak-awak #bot #bot nelayan #bot pukat tunda #kawasan tangkapan ikan #kemalangan #Maritim Perak #Myanmar #nelayan #operasi #Shahrizan Raman #siasatan #sistem pengezonan #syarat lesen vesel #syarat sah lesen #tekong #tunda ikan #undang-undang #zon larangan
;