Bot nelayan asing ceroboh perairan negara ditahan

Abd Razak Mohd Ali
Mac 21, 2022 02:16 MYT
Bot yang ditahan berserta kru diiring ke jeti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Sitiawan, untuk proses penahanan. - Foto APMM
LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menahan sebuah bot nelayan asing di kedudukan 7 batu nautika barat daya Pulau Lalang sekitar jam 2 petang semalam.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Perak, Komander Maritim Fadzliana Fadzil berkata, tangkapan berkenaan dilakukan oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Benteng dan Op Pintas di perairan Pulau Sembilan.
Menurutnya, pemeriksaan oleh pasukan operasi mendapati, bot tanpa nombor pendaftaran itu dikendalikan tiga kru, termasuk tekong warga Indonesia tanpa memiliki sebarang pengenalan diri sah yang berusia antara 40 hingga 44 tahun.
“Mereka juga disyaki melakukan kesalahan di bawah seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985 kerana gagal memaklumkan pihak berkuasa setelah memasuki perairan perikanan Malaysia serta Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, bot serta kru diiring ke jeti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Sitiawan, untuk proses penahanan.
Siasatan dan tindakan lanjut akan dilaksanakan oleh pegawai penyiasat Maritim Malaysia.
Menurutnya, penahanan itu membuktikan Maritim Malaysia sentiasa bersiap siaga dalam menguatkuasakan undang-undang bagi membendung kegiatan jenayah di laut meskipun keadaan cuaca yang tidak menentu.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai menyalurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999.
#nelayan asing #ceroboh #Maritim Malaysia #Pulau Lalang