Bot misteri: Polis tidak tolak kemungkinan 5 warga Malaysia diculik di perairan Lahad Datu

Ridzal Abdullah
Julai 19, 2016 04:45 MYT
Semalam sebuah bot tunda tanpa kru dengan enjin masih hidup ditemukan terdampar di kawasan perairan Dent Heaven, Tambisan, Lahad Datu. - Foto Bernama
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun mengesahkan pihaknya tidak menolak kemungkinan bahawa lima warganegara Malaysia yang hilang daripada kapal tunda mereka semalam di kawasan perairan Dent Haven, di Tambisan Lahad Datu telah diculik.
Beliau mengesahkan mereka yang dikhuatiri hilang dikenali sebagai Abd Rahim Summas, 62, juragan bot dari Kampung Tanjung Batu, Tawau; empat kru bot iaitu Tayudin Anjut, 45, dari Kampung Tanjung Batu Darat, Tawau; Mohd Ridzuan Ismail, 32, dari Felda Jengka 7, Bandar Jengka, Pahang; Fandy Bakran, 26, dari Kampung Pukat Tawau dan Mohamad Jumadil Rahim, 23, dari Batu 2, Jalan Apas, Tawau.
Kesemua mereka berkerja sebagai anak kapal salah sebuah syarikat milik tempatan.
Katanya lagi sehingga kini anggota keluarga mereka belum menerima sebarang panggilan meminta wang tebusan daripada mana-mana pihak.
"Kelima-lima kru yang dipercayai diculik tidak dapat dihubungi. Polis sedang menyiasat kes dan kejadian ini," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Kapal dinaiki mereka membawa muatan batu daripada Semporna pada 17 Julai ke Sandakan sebelum kapal mereka ditemui oleh sekumpulan pemancing di Lahad Datu dengan enjin masih hidup.
"Pemeriksaan mendapati enjin bot tunda masih hidup, kompas jurumudi tiada serta tiada seorang pun kru di dalamnya," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya masih menyiasat perkara tersebut dan meminta orang ramai agar bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi.
Sekiranya ia disahkan, kes ini adalah kes penculikan kedua dalam tempoh 10 hari.
Pada 9 Julai lalu tiga warganegara Indonesia dilaporkan diculik di perairan berdekatan Felda Sahabat Lahad Datu.
#bot terdampar #bot tunda #culik Lahad Datu #Lahad Datu #PDRM #polis #Tambisan