Bot kenka tidak dikendalikan pemilik ditahan APMM

Dewi Nur Harasha Alias
Februari 23, 2023 13:00 MYT
Bot kelas A yang ditahan dalam Op Pertiwi yang dijalankan pada petang Rabu. - Foto APMM
GEORGE TOWN: Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan kenka tempatan yang tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya dalam satu rondaan rutin Op Pertiwi di negeri itu semalam.
Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, penahanan itu dibuat pada jarak 4.6 batu nautika dari tenggara Pulau Rimau, pada jam 6.30 petang.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati, bot berkenaan dikendalikan oleh seorang tekong dan empat kru warga tempatan yang berusia dalam lingkungan antara 33 hingga 47 tahun.
"Bot dan kru yang ditahan itu kemudian dibawa ke Jeti PGM (Pasukan Gerakan Marin) Batu Uban dan diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk tindakan lanjut.
"Mereka telah ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Abd Razak berkata, pihaknya tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan lebih tegas terhadap mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.
Katanya, sebarang aduan dan salah laku jenayah maritim atau kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.
#Maritim Malaysia #nelayan tempatan #pulau rimau #Op Pertiwi
;