Bot KD Perdana hilang: TLDM lancar Carilamat

Hakim Rahman
Mei 22, 2017 11:52 MYT
Keadaan cuaca di sekitar kawasan ketika kejadian adalah baik dengan ketinggian ombak satu hingga satu setengah meter manakala kelajuan angin antara 20 hinga 30 kilometer sejam (km/j). - Sumber foto: TLDM
Sebuah bot Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terputus hubungan ketika operasi mengusir beberapa buah bot nelayan asing di perairan Sedili, Sabtu lepas.
TLDM dalam kenyataan memaklumkan bot Boarding Team milik Kapal Diraja (KD) Perdana yang membawa bersama seorang pegawai dan lapan orang Laskar Kanan itu KD Perdana terputus hubungan pada 1 petang.
"Op Carilamat telah dibuat tetapi tidak membuahkan hasil maka TLDM mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar perairan Sedili semalam bagi memperluaskan SAR menggunakan aset Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Persatuan Nelayan Sedili.
BACA: TLDM sahkan bot KD Perdana hilang di Perairan Sedili
"Antara aset yang terlibat adalah KD Perdana, KD Perkasa, KD Pendekar, KD Handalan, KD Terengganu, KD Kelantan, bot Pengalang 39, bot Kilat 16, sebuah helikopter Super Lynx dan sebuah pesawat Fennec," katanya.
Bot berkenaan kali terakhir dilihat pada jarak 29 batu nautika di Timur Tanjung Sedili Besar sebelum terputus hubungan.
Keadaan cuaca di sekitar kawasan ketika kejadian adalah baik dengan ketinggian ombak satu hingga satu setengah meter manakala kelajuan angin antara 20 hinga 30 kilometer sejam (km/j).
"Dipercayai bot dan Boarding Team berlindung di dataran terhampir atau di bot nelayan yang berada di sekitar perairan Sedili," katanya.
#Angkatan Tentera Malaysia #KD Perdana #Malaysia #nelayan #operasi #pesawat #Tentera Laut Diraja Malaysia
;