Bot kayu rosak lapan hari di laut, 30 PATI dicekup

Aida Aziz
Ogos 12, 2024 22:40 MYT
Seramai 30 PATI warga Indonesia termasuk tekong ditahan selepas bot yang dinaiki mengalami kerosakan dan terapung kira-kira lapan hari di sekitar 9.8 batu nautika dari Tanjung Hantu, Segari, Manjung. - Gambar ihsan PDRM
MANJUNG: Seramai 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia termasuk tekong ditahan selepas bot yang dinaiki mengalami kerosakan dan terapung kira-kira lapan hari di sekitar 9.8 batu nautika dari Tanjung Hantu, Segari, di sini.
Menurut Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Mohamed Nordin Abdullah, pada sekitar 8.34 malam Sabtu lalu, Ibu Pejabat Polis (IPD) Manjung menerima maklumat daripada Pasukan Polis Marin Kampung Acheh, Sitiawan berhubung penahanan sebuah bot kayu di lokasi tersebut dalam keadaan mencurigakan.
"Bot kayu jenis pom-pom itu dipercayai membawa warganegara asing dari Indonesia melalui jalan yang tidak diwartakan.
"Setelah berjaya menahan bot tersebut, Polis Marin telah membuat pemeriksaan dan menahan seorang tekong bot, 24 lelaki dan lima wanita warga Indonesia kerana disyaki melakukan kesalahan masuk Malaysia tanpa sebarang pas perjalanan yang sah.
"Kesemua tangkapan dan rampasan barang kes diserahkan kepada polis dari IPD Manjung untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau berkata, siasatan awal polis mendapati kesemua tangkapan telah berkumpul di satu kawasan dipercayai sekitar Sabak Bernam sebelum menaiki bot tersebut pada 3 Ogos lalu.
Tambahnya, bot tersebut kemudiannya mengalami kerosakan lalu hanyut terumbang-ambing kira-kira lapan hari hari sehingga berjaya dikesan oleh pihak Polis Marin.
Sehubungan itu, katanya, kes disiasat mengikut Sekysen 26a Akta Antipemerdagangan Manusia dan Antipenyeludupan Migran 2007 (APTISOM) 2007 dan Seksyen (6) (1) (c) Akta Imigresen 1959.
#bot rosak #pati