Bot karam Teluk Ramunia: Operasi hari kedua gagal temukan tiga mangsa hilang

Izlaily Nurul Ain Hussein
Januari 21, 2022 18:37 MYT
Agensi teebabit dalam Op Carilamat bot PATI karam di Teluk Ramunia menjalankan usaha mencari dan menyelamat tiga mangsa yang masih hilang pada hari kedua. - Foto Maritim Malaysia
PENGERANG: Operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) insiden bot pendatang asing tanpa izin (PATI) yang karam di satu batu nautika dari Teluk Ramunia di sini, semalam, masuk hari kedua.
Bagaimanapun, usaha dijalankan agensi-agensi terbabit gagal menemukan tiga lagi mangsa yang masih hilang dalam insiden berkenaan.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, keluasan pencarian hari ini membabitkan 35.82 batu nautika persegi di kawasan laut sekitar perairan Tanjung Sepang sehingga ke Pengerang.
"Pencarian dimulakan pada jam 7 pagi tadi dengan melibatkan keluasan 35.82 batu nautika persegi di laut sekitar perairan Tanjung Sepang sehingga Pengerang dengan kekuatan tujuh aset daripada Maritim Malaysia serta agensi yang lain.
"Pencarian di pesisir pantai juga dilakukan oleh pasukan penyelamat sejauh 20 kilometer dan turut melibatkan bantuan dron milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (APMM)," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.
BACA: Lima disahkan maut, tiga lagi masih hilang - APMM
Menurut Nurul Hizam, Op Carilamat pada hari ini membabitkan 41 petugas di Pengkalan Hadapan Carilamat (PHC) terdiri daripada Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), JBPM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Beliau berkata, pencarian di laut akan ditangguhkan selepas matahari terbenam, hari ini dan disambung semula pada jam 7 pagi, esok.
"Untuk pencarian di darat pula kita akan diteruskan juga pada waktu malam di kawasan pesisir pantai selama 24 jam," jelasnya.
Semalam, dilaporkan lima PATI wanita ditemui lemas manakala tiga lagi masih hilang dalam insiden bot karam itu.
[TERKINI] Bot bawa 27 PATI karam di Perairan Teluk Ramunia, 2 maut, 6 hilang
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 4.50 pagi itu, 19 lagi PATI terdiri daripada sepuluh wanita dan sembilan lelaki dilaporkan selamat.
Semua PATI yang terbabit dal insiden itu dianggarkan berusia antara 20 hingga 40 tahun.
Difahamkan, sebelum kejadian, bot dari Indonesia dinaiki 27 orang itu dipercayai memecut laju sebaik menyedari kehadiran bot Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengekori mereka.
Ditambah dengan keadaan cuaca, dipercayai bot terbabit tidak dapat dikawal atau tidak stabil berikutan jumlah penumpang yang ramai sebelum dilaporkan karam.
#bot karam #Teluk Ramunia #APMM #pendatang tanpa izin
;