Bot karam Teluk Ramunia: Lima disahkan maut, tiga lagi masih hilang - APMM

Astro Awani
Januari 20, 2022 18:31 MYT
Semua PATI yang terbabit dalam insiden itu dianggarkan berusia antara 20 hingga 40 tahun. - Foto Astro AWANI
PENGERANG: Lima maut manakala tiga lagi masih hilang dalam kejadian bot pendatang asing tanpa izin (PATI) yang karam di kedudukan satu batu nautika dari Teluk Ramunia dekat Pengerang, Kota Tinggi, pada Khamis.
Dalam kejadian yang kira-kira 4.50 pagi itu, 19 lagi PATI terdiri daripada sepuluh wanita dan sembilan lelaki dilaporkan selamat.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, semua PATI yang terbabit dalam insiden itu dianggarkan berusia antara 20 hingga 40 tahun.
Beliau berkata, sebelum kejadian, bot yang dipercayai dari Indonesia yang dinaiki 27 orang PATI itu dipercayai memecut laju sebaik menyedari kehadiran bot Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengekori mereka.
Dengan keadaan cuaca buruk, Nurul Hizam berkata, berkemungkinan bot terbabit tidak dapat dikawal atau tidak stabil dengan jumlah penumpang yang ramai sebelum karam.
“Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA)) APMM telah mengesan pergerakan sebuah bot yang mencurigakan yang dipercayai membawa pati dan dipercayai pergerakan bot ini dari Tanjung Tondang, Pulau Bintan.
“Seterusnya kita salurkan maklumat kepada KD Seri Indra Sakti TLDM. KD Seri Indra Sakti tugaskan sebuah bot untuk mengejar bot ini dan kemudiannya kita mendapat laporan bot tersebut telah karam dalam jam 4.10pagi, mangsa yang berada dalam bot tersebut dianggarkan dilaporkan 27 orang.
“Yang mana 24 daripada mangsa dtemui iaitu 19 selamat 10 wanita, sembilan lelaki, lima meninggal dunia, wanita dan antaranya tiga daripada lima mereka ini dijumpai 7.30 pagi dan yang masih hilang tiga orang,” katanya.
[TERKINI] Bot bawa 27 PATI karam di Perairan Teluk Ramunia, 2 maut, 6 hilang
Beliau berkata demikian ketika sidang media di Pos Hadapan Carilamat (PHC) insiden bot karam di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Pengerang, pada Khamis.
Menurut Nurul Hizam, bot kayu berwarna perang sepanjang 15 meter dengan enjin 600 horse power dinaiki PATI berkenaan itu sudah dijumpai pada jam 9.30 pagi di satu batu nautika barat daya Kuala Sungai Rengit.
Katanya, bot terbabit dipercayai dipandu dengan kelajuan 80 kilometer sejam.
Sehingga kini, agensi berkuasa terbabit masih dalam operasi mencari dan menyelamat membabitkan keluasan 50 batu nautika dengan 20 kilometer dari Tanjung Penyusup di kawasan pantai ke Pos Maritim Pengerang.
Bermula awal tahun ini, tiga kes cubaan menyeludup PATI dilaporkan pihak Maritim Malaysia dengan dua daripadanya bot karam membabitkan 11 kematian setakat ini.
“Untuk tahun ini dua kes, kes pertama di Pontian dan kes kedua di Teluk Ramunia. Kes PATI yang kita kendalikan setakat ini tiga kes.
“Sepanjang tahun ni, untuk kita, kita ada tiga cubaan daripada pihak penyeludup PATI Indonesia ini. dah ada tiga kes kematian yang mana daripada tiga kes ini, jumlah kematian di Pontian, enam, kemudian di sini ada lima. Setakat ini jumlah kematian 11 orang sudah meninggal dunia,” katanya lagi.
#pendatang asing #pengerang #bot karam #APMM
;