Bot karam: Seorang anggota PGA hilang
Ridzal Abdullah, Radhi Muslim
Februari 13, 2020 14:18 MYT
Februari 13, 2020 14:18 MYT
Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dilaporkan hilang manakala 36 individu lain dilaporkan selamat dalam insiden bot karam di perairan berhadapan Bandar Sandakan, pagi Khamis.
Pegawai Memerintah Kapal Maritim Kota Belud, Leftenan Komander Mohd Hafidz Mohd Tajuddin berkata, bot penumpang berkenaan terlanggar sebuah bot tunda yang sedang menunda sebuah bot kecil.
Menurutnya, susulan itu, 15 mangsa sudah dihantar ke hospital untuk rawatan selebihnya hanya menerima rawatan ringan.
"Manakala, seorang anggota PGA dilaporkan masih hilang," katanya dalam sidang media, pagi tadi.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sudah diaktifkan dengan radius pencarian sekitar lima batu nautika di perairan hadapan Bandar Sandakan.
Terdahulu, bot penumpang dinaiki 28 pelajar dan sembilan orang awam yang sedang dalam perjalanan dari Kampung Tanjung Aru menuju ke Jeti Pasar Sandakan dilaporkan berlanggar dengan bot tunda terbabit..
Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 6.20 pagi.