Bot karam: Satu mayat ditemukan, seorang yang terselamat meninggal dunia
Astro Awani
Disember 17, 2021 16:10 MYT
Disember 17, 2021 16:10 MYT
KOTA TINGGI: Seorang daripada 14 mangsa pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terselamat dalam kejadian bot pancung karam di perairan Tanjung Balau, pada Rabu disahkan meninggal dunia, awal pagi tadi.
Mangsa lelaki itu sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal ketika dijumpai selamat pada hari insiden.
Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Kapten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, mengikut laporan yang diterima mangsa lelaki yang berusia 30an meninggal dunia disebabkan lemas.
"Yang meninggal di Hospital Kota Tinggi dimaklumkan secara tidak rasmi adalah disebabkan lemas.
“Mangsa yang sama kritikal pada hari pertama yang mana 13 memang sihat seorang itu dimasukkan ke hospital, individu sama jantina lelaki umur 30 tahun," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Operasi Carilamat di Pantai Tanjung Balau, di sini hari ini.
Menurut Simon, ia menjadikan jumlah mangsa yang selamat ialah 13 orang, masih hilang 16 orang dan 21 lagi meninggal dunia.
Katanya, pada operasi hari ketiga hari ini berjaya menemukan satu lagi mayat dipercayai PATI pada kedudukan 2.7 batu nautika di perairan Tanjung Pungai.
Tanjung Pungai terletak kira-kira 23 kilometer dari pantai Tanjung Balau, lokasi kejadian itu berlaku.
Mayat lelaki yang dianggarkan berusia 30an itu dibawa ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Musuh, sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.
Pada tragedi pagi Rabu, seramai 50 pendatang tanpa izin warga Indonesia dilaporkan terlibat dalam insiden bot karam di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi.