Bot karam: SAR di pantai diteruskan, SAR laut ditangguhkan malam ini

Bernama
Disember 16, 2021 16:29 MYT
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bot karam di Tanjung Balau, Kota Tinggi, diteruskan malam ini. - Gambar fail/Sinar Harian
JOHOR BAHRU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bot karam di Tanjung Balau, Kota Tinggi, diteruskan malam ini, meliputi pencarian di kawasan pesisir pantai Tanjung Siang ke Tanjung Balau.
Menurut Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), 17 anggota daripada pelbagai agensi terlibat dalam operasi berkenaan yang bermula pada pukul 7 malam tadi.
"Pencarian pantai ini akan dilakukan berterusan selagi operasi carilamat (SAR) tidak ditamatkan," kata PHC.
Bagaimanapun operasi SAR di laut menggunakan aset pada malam ini ditangguhkan atas faktor kesukaran penglihatan.
Terdahulu, tujuh mayat mangsa bot karam ditemukan di Tanjung Balau hari ini, menjadikan 19 mayat telah dijumpai setakat ini, manakala 17 mangsa lagi dipercayai masih hilang.
-- BERNAMA
#mangsa bot karam #tanjung balau #Kota Tinggi #Tanjung Siang #APMM #SAR