Bot karam Pulau Payar: Operasi mencari pemancing belum ada sebarang petunjuk
Astro Awani
Februari 21, 2016 15:05 MYT
Februari 21, 2016 15:05 MYT
Selepas 12 jam operasi mencari dan menyelamat dilakukan, operasi mencari dan menyelamat oleh pihak berkuasa masih belum menemui sebarang objek atau petunjuk penemuan seorang tekong dan sekumpulan pemancing yang dilaporkan hilang kira-kira 10 batu nautika dari Kuala Kedah, sejak jam 10 malam tadi.
Ketua Pengkalan Maritim Kuala Kedah, Leftenan Komander Maritim Ahmad Kamal Mohd Noor berkata, keadaan ombak setinggi antara 2 hingga 3 meter menyukarkan operasi pencarian.
Dua aset milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) iaitu bot pengawal 41 dan bot penyelamat 5 telah digerakkan ke lokasi kejadian.
Sebuah lagi aset, pesawat Agusta AW 139 dijangka dihantar bagi membantu melakukan pemantauan dan pencarian di sekitar lokasi bot berkenaan dilaporkan hilang.
Bagaimanapun, setakat ini anggota APMM dilaporkan masih belum menemui sebarang penemuan semua kaki pancing terbabit dan usaha mencari mereka giat dilakukan.
Sementara itu, isteri kepada tekong bot, Rosmawati Mat, 40 tahun ketika dihubungi berkata, dia tidak sedap hati apabila gagal menghubungi suaminya sejak Khamis lalu.
Suaminya, Zamidi Meeson, 42 tahun dikatakan keluar dari rumah mereka di Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah kira-kira jam 8.30 pagi Khamis lalu namun tidak mengetahui jam berapa mereka turun ke laut.
Rosmawati dimaklumkan suaminya bahawa dia akan membawa sekumpulan kaki pancing dari Pulau Pinang ke Pulau Payar.
Katanya, suaminya yang juga seorang nelayan sudah terbiasa dengan keadaan laut dan akan pulang selepas tiga hari berada di laut.