Bot karam: Pencarian nelayan diteruskan pagi ini
Muhafandi Muhamad
Januari 2, 2021 06:00 MYT
Januari 2, 2021 06:00 MYT
PASIR PUTEH: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) nelayan tempatan yang hilang selepas bot yang dinaiki karam pada tengah hari Khamis, disambung pagi ini.
Operasi mencari Ashaari Leh, 43 tahun, diperluaskan lagi dengan turut melibatkan penggunaan aset udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Menurut Pengarah Maritim Kelantan Kapten Muhd Nur Syam Asmawie Yaakob, pencarian pada Sabtu gagal mengesan sebarang bukti dan petunjuk.
Pencarian semalam membabitkan kapal maritim Tok Bali, bot kilat dan helikopter APMM AW139 dengan dibantu helikopter EC725 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan helikopter AW139 pasukan udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan keluasan pencarian 1754 batu nautika.
Cuaca dan keadaan ombak setinggi 4 meter menyukarkan pencarian di permukaan air oleh kapal maritim.
Mangsa bersama empat rakannya yang selamat dikatakan berenang ke Pulau Perhentian selepas bot yang mereka naiki karam pada Khamis.
Hanya empat rakannya yang selamat selepas berenang sejauh 4 batu nautika, manakala mangsa masih belum ditemui.
#bot karam
#mangsa
#hilang
#TUDM
#PDRM
#APMM
#Ashaari Leh
#Muhd Nur Syam Asmawie Yaakob
#Tok Bali
#Pulau Perhentian
#nelayan
#helikopter
#maritim
#ombak