Bot karam: Objek putih terapung dikesan di perairan Labuan

Bernama
Februari 3, 2017 22:40 MYT
Anggota operasi SAR enam mangsa bot karam yang masih hilang di Sabah, mengesan satu objek berwarna putih terapung di perairan Semarang. - fotoBERNAMA
Anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam mangsa bot karam yang masih hilang di Sabah, mengesan satu objek berwarna putih terapung di kawasan perairan Semarang, Labuan dalam operasi yang masuk hari ketujuh hari ini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kota Kinabalu Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz berkata objek itu dikesan menerusi pemantauan udara pesawat C130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kira-kira pukul 2.15 petang di 17 batu nautika ke utara Labuan dan 42 batu nautika barat daya dari perairan Pulau Mengalum.
"Pihak kami menghantar Kapal Maritim (KM) Mabul ke lokasi itu bagi membuat pencarian sekali gus mengenal pasti apa sebenarnya objek itu," katanya kepada pemberita di Pusat Operasi APMM Wilayah Sabah dan Labuan di sini.
BACA: Jabatan Laut tubuh pasukan khas siasat tragedi bot karam di Pulau Mengalum
BACA: Tragedi katamaran: "Harapkan keajaiban temui mangsa dalam keadaan hidup"
Bagaimanapun pihaknya masih belum menerima maklumat lanjut mengenai objek itu kerana pasukan SAR mengalami kesukaran berikutan keadaan cuaca buruk.
Sementara itu, Adam berkata KM Berani menemui dua jaket keselamatan di kawasan perairan Semarang, Labuan dalam operasi SAR pada hari keempat (31 Jan) dan hari kelima (1 Feb).
Beliau berkata jaket pertama ditemui kira-kira 1.05 tengah hari di lokasi 58 batu nautika barat laut Labuan dan 70 batu nautika barat dari Pulau Mengalum.
"Jaket kedua pula ditemui kira-kira 12.55 tengah hari di lokasi 55 batu nautika barat laut Labuan dan 65 batu nautika dari Pulau Mengalum," katanya.
Kedua-kedua jaket keselamatan itu telah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.
"Kami masih belum mendapat pengesahan adakah jaket keselamatan itu digunakan oleh mangsa. Polis akan membawa kedua-dua jaket keselamatan itu kepada pemilik dan tekong bot pelancongan terbabit bagi proses pengecaman," katanya.
Dalam tragedi 10 pagi Sabtu lepas, bot pelancong yang membawa 28 pelancong warga China dan tiga anak kapal, karam dipercayai akibat angin kencang dan ombak besar semasa dalam perjalanan ke Pulau Mengalum.
Setakat ini 22 mangsa dijumpai selamat dan tiga mati.
-- BERNAMA
#bot katamaran karam #Jabatan Laut #kru bot #Pelancong China #Pulau Mengalum #tekong
;