Bot karam: Isteri ditemui selamat, suami masih hilang
Petrus Bernard
Jun 10, 2023 08:00 MYT
Jun 10, 2023 08:00 MYT
TAWAU: Seorang wanita ditemui selamat manakala suaminya masih hilang dalam satu kejadian bot karam di perairan Sungai Melayu Sebatik pada Jumaat.
Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Amiludin Yenggah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu pada jam 11 pagi sebelum menggerakkan dua buah bot maritim bersama 12 pegawai dan anggota ke lokasi kejadian.
Setibanya di lokasi kejadian isteri mangsa, Norlina Arifin, 45, telah berjaya diselamatkan penduduk kampung yang berada di lokasi kejadian dan dihantar ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan.
Manakala mangsa, Abdul Rahman Kasil, 56, masih belum ditemui.
Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati bot yang dinaiki suami isteri itu terlanggar objek keras terapung lalu pecah dan karam.
"Pada jam lebih kurang jam 11 pagi pusat operasi telah menerima panggilan MERS 999 daripada pengadu yang menyatakan sebuah bot jongkong telah karam di perairan Pulau Sebatik.
"Mengikut maklumat yang diterima, mangsa bergerak dari Tawau mengarah ke Sungai Melayu dan semasa dalam perjalanan dan berhampiran dengan Sungai Melayu, bot tersebut telah melanggar objek terapung dan seterusnya karam di kawasan tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di pusat Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di Kampung Titingan Tawau Lama, Tawau pada Jumaat.
Operasi SAR melibatkan melibatkan 5 buah bot dari pelbagai agensi keselamatan seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan kekuatan 23 pegawai dan anggota.
Operasi SAR turut dibantu pasukan BASARNAS Indonesia serta 2 buah bot orang kampung bersama 16 penduduk.
Operasi SAR ditangguhkan pada jam 6 petang dan bersambung semula pada Sabtu jam 7 pagi.