Bot karam dipukul ribut: Operasi cari lelaki dikhuatiri lemas diteruskan
Aida Aziz
Januari 20, 2024 09:30 MYT
Januari 20, 2024 09:30 MYT
KUALA KANGSAR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dikhuatiri lemas ketika melakukan aktiviti memancing di Empangan Chenderoh di Kampung Chenderoh, di sini, petang semalam diteruskan pada pagi Sabtu.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, mangsa yang hilang dikenali sebagai Muhammad Khairul Rusydan, 30.
Sabarodzi berkata, operasi yang bermula jam 8 pagi itu membabitkan kekuatan anggota seramai 54 orang.
Ia merangkumi JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Rela, nelayan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
"Kami menerima panggilan pada jam 5.32petang semalam (Jumaat) berhubung kejadian sebuah bot karam dilanda ribut ketika dua mangsa melakukan aktiviti memancing.
"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dikejarkan ke lokasi dengan dibantu BBP Lenggong (bantuan bot).
"Terdapat dua mangsa, seorang daripadanya berjaya diselamatkan oleh pemancing lain yang berdekatan dengan mereka, manakala seorang lagi lelaki telah lemas.
"Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) berada di lokasi bagi sebarang kemungkinan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Berhubung operasi pagi ini, beliau berkata pasukan SAR itu turut membabitkan inter-agensi.
Kekuatan logistik pula termasuk JBPM, nelayan, TNB dan APM.
"Operasi disambung 8 pagi, koordinasi antara pasukan sedang dilakukan bagi kerja SAR, sebarang maklumat terkini akan dimaklumkan dalam masa terdekat," katanya lagi.