'Bot karam dibadai ombak 5 meter' - Mangsa cerita detik cemas 7 jam terumbang-ambing di lautan

Salim Aziz
Februari 26, 2022 07:15 MYT
Kesemua 18 pemancing termasuk 2 kru kapal berjaya diselamatkan sebuah bot nelayan sebelum dipindahkan ke bot Maritim untuk dibawa pulang ke Jeti Maritim Bukit Malut. -Gambar fail/Astro AWANI
LANGKAWI: "(Kejadian sangat) pantas, papan tu pecah sekeping, depan tu terbuka, jadi air terus masuk."
Itu kata tekong bot, Baseri Aziz, 55, yang mendakwa ombak kuat setinggi lebih 5 meter membadai bahagian depan kapal mengakibatkan bahagian depan pecah dan menyebabkan kapal itu karam.
"Ombaknya terlalu kuat melebihi 5 meter, jadi perjalanan balik kami dalam 4 knot atau 3 knot, tidak boleh lebih, tidak boleh laju.
"(Kejadian sangat) pantas, sebab papan depan tu pecah sekeping, depan tu terbuka, jadi air terus masuk."
"Dalam pukul 1.30 pagi tu kami dah cuba macam-macam, pukul 1.45 tu terus tenggelam," kata Baseri lagi.
Sementara itu, mangsa Syahrin Samsudin, 43, dari Perlis berkongsi pengalaman cemas tujuh jam terumbang-ambing di lautan.
Syahrin berkata keadaan lebih mencemaskan apabila suasana semakin gelap manakala rakan-rakan mangsa yang lain mulai keletihan.
Bagaimanapun, nasib menyebelahi mereka apabila tindakan melambai-lambaikan nyalaan lampu suluh mendapat perhatian sebuah bot pukat tunda yang berada berhampiran.
"Kalau fikir nak berenang sampai ke malam tak tentu sampai ke pulau, kan?
"Jadi kami berpecah, pakai lampu suluh untuk beri isyarat keselamatan kepada bot yang berada berdekatan.
"Itu dah habis ikhtiar dah kalau menjerit tu dah habis menjeritlah.
"Waktu jumpa tu dah 7.15 pagi, dah nak gelap dah. Alhamdulillah bot tu nampak satu group melambai-lambai dan saya pun bagi beam torchlight.
"Dia bagi respond kami pun lapang dada, dia pasang lampu ke arah kami," kata Syahrin
Menurutnya, dia dan rakan-rakan serta kru bot sudah berada di laut selama dua malam selepas meninggalkan jeti Kuala Perlis pada Khamis pagi.
"Jumaat malam Sabtu hari ini kami nak bergeraklah ke lokasi lain memancing, dan sepatutnya bot tu balik esok pagi ke Kuala Perlis.
"Trip ni 4 hari 3 malam," kata Syahrin.
Dalam kejadian pada Sabtu, 18 pemancing serta kru sebuah bot dilaporkan hilang dan karam, dipercayai selepas dipukul ribut di perairan Langkawi.
Kesemua mereka terdiri daripada 14 pemancing dan empat kru.
Berikutan kejadian, beberapa aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang berpangkalan di Bukit Malut, di sini, memulakan operasi menyelamat.
Kesemua 18 pemancing termasuk 2 kru kapal akhirnya berjaya diselamatkan sebuah bot nelayan sebelum dipindahkan ke bot Maritim untuk dibawa pulang ke Jeti Maritim Bukit Malut.
BACA: 18 pemancing, kru bot karam di perairan Langkawi ditemui selamat
#Syahrin Samsudin #Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia #bot karam #Baseri Aziz
;