Bot karam di Sarawak: Tiga disahkan lemas, lapan masih hilang
Astro Awani
Januari 18, 2014 21:48 MYT
Januari 18, 2014 21:48 MYT
Tiga orang mati lemas selepas bot panjang rombongan perkahwinan terbalik ketika dalam perjalanan dari Kampung Saei ke Kampang Tekajong, Pulau Bruit, Matu di Mukah.
Menurut maklumat yang diterima pada jam 8 malam, nama-nama mangsa adalah Melati Jerai (51 tahun), Sekiah Kifli (49 tahun) dan Merah Murni (55 tahun).
Lapan orang masih belum dijumpai manakala 16 orang dapat diselamatkan.
Menurut laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Matu/Daro DSP Wagner Lisa Libut berkata ketiga-tiga mangsa merupakan wanita berumur lingkungan 40 hingga 50 tahun.
"Semua penumpang bot berasal dari Kampung Tekajong, Pulau Bruit dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis perkahwinan di Kampung Saei. Menurut maklumat awal keadaan cuaca ketika kejadian adalah baik, namun bot panjang terbalik dipukul ombak besar," katanya.
Operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah dan Sibu dan turut melibatkan pelbagai agensi seperti polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Pasukan Sukarelawan Malaysia.