Bot karam di Sabah: Empat yang terselamat kembali ke China pagi ini

Bernama
Februari 6, 2017 16:35 MYT
RAMLI: Empat pelancong daripada 20 yang terselamat tragedi bot katamaran karam di perairan Sabah 28 Jan lepas kembali ke China pagi tadi. - Gambar fail
Empat pelancong daripada 20 yang terselamat tragedi bot katamaran karam di perairan Sabah 28 Jan lepas kembali ke China pagi tadi, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din.
Mereka berlepas ke China menggunakan penerbangan China Southern Airlines pada pukul 4 pagi, katanya kepada pemberita selepas melancarkan program 'Jom Ke Sekolah' peringkat negeri Sabah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Likas di sini hari ini.
BACA: Bot pelancong karam di Sabah: Tekong dipenjara enam bulan
BACA: Jabatan Laut tubuh pasukan khas siasat tragedi bot karam di Pulau Mengalum
Empat orang itu adalah antara 20 pelancong warga China yang diselamatkan dan menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I selepas bot dinaiki mereka karam ketika dalam perjalanan dari Jeti Tanjung Aru ke Pulau Mengalum.
Tiga pelancong warga China ditemukan maut manakala lima lagi masih hilang termasuk seorang kru bot warga tempatan.
Sementara itu, mengulas proses bedah siasat dan pengecaman mayat wanita yang ditemukan nelayan pukat tunda Sabtu lepas, Ramli berkata pihaknya menjangkakan keputusan ujian DNA akan diperoleh hari ini.
Pada 4 Feb lepas, tekong bot itu Sharezza Salian, 26, dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen selepas dia mengaku bersalah membawa muatan melebihi had yang dibenarkan.
Sementara itu, pemilik bot Leong Vin Jee, 43, yang dihadapkan di Mahkamah Majistret hari ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membawa penumpang melebihi had dibenarkan lesen bot miliknya dan kesnya akan disebut semula pada 28 Feb.
-- BERNAMA
#bot katamaran karam #Jabatan Laut #kru bot #Pelancong China #Pulau Mengalum #Ramli Din #tekong
;