Bot karam di perairan Mukah: Seorang maut, lapan hilang, dua selamat
Rudi Affendi Khalik
September 22, 2022 11:30 MYT
September 22, 2022 11:30 MYT
MUKAH: Seorang maut manakala lapan yang lain masih hilang selepas bot yang dinaiki mereka karam di perairan Mukah pada Selasa.
Menurut maklumat awal Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC APMM) Kuching, insiden tersebut membabitkan bot dengan nombor pendaftaran SF2-2837.
Laporan awal itu menyebut, bot memancing tersebut telah keluar pada Isnin (19 Sept) bersama-sama 11 penumpang, termasuk tekong dan dua kru.
Ia bagaimanapun berhadapan masalah enjin sebelum karam di kedudukan 34 batu nautika dari Barat Laut Mukah, kira-kira 8.30 malam pada Selasa.
Dua mangsa yang selamat ditemui hanyut di perairan Mukah, sekitar jam 5 petang semalam, oleh sebuah kru kapal tunda Capella yang dalam perjalanan dari Bintulu ke Kuching.
Sementara itu, sekitar jam 10.40 pagi ini, pasukan mencari dan menyelamat menemui mayat seorang mangsa tidak jauh dari lokasi terakhir bot dilaporkan tenggelam.
MRSC di Kuching dalam satu kenyataan ringkas berkata, pihaknya sedang mengumpul maklumat lanjut dan perkembangan terkini akan dikemas kini.