Bot karam di Pantai Utara, warga emas dikhuatiri lemas

Bernama
Ogos 26, 2016 00:26 MYT
Kakitangan Hospital Pulau Pinang membuat pemeriksaan kepada salah seorang mangsa dalam kejadian bot terbalik di Pantai Utara berhampiran Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia malam tadi. - Foto Bernama
Seorang pekerja kuari berusia 60-an dikhuatiri lemas apabila bot yang membawanya dan enam pekerja lain karam berhampiran Pantai Utara, di sini malam tadi.
Insiden kira-kira pukul 7 malam di belakang pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Sultan Ahmad Shah itu berlaku apabila bot yang membawa pekerja untuk melakukan kerja mengukur di projek tambakan tanah di situ, terbalik selepas dipukul ombak kuat.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Nazari Mustapha berkata anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
"Kami harap dapat mencari mangsa sebelum tengah malam. Jika tidak, ia akan bergantung kepada keputusan polis sama ada untuk meneruskan oeprasi itu atau tidak," katanya di sini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan kecemasan daripada seorang pegawai SPRM dan apabila tiba di lokasi, mereka hanya dapat menyelamatkan seorang pekerja Indonesia kira-kira 80 meter dari pantai.
"Baki lima mangsa diselamatkan seorang nelayan kira-kira 500m dari pantai dipercayai berhampiran bot ketika ia terbalik," katanya.
Seorang mangsa, Hamdan Osman, 35, yang berasal dari Acheh, berkata beliau dan rakannya meninggalkan Pantai Jerjak untuk memulakan tugas pada pukul 6 petang dan ombak yang kuat menyebabkan bot itu hilang imbangan.
"Ini kali pertama saya bekerja di atas bot kerana sebelum ini saya bekerja sebagai pemandu lori selama setahun," katanya.
Hamdan bersama enam pekerja lain, empat berasal dari Acheh dan tiga rakyat tempatan, berada di atas bot itu.
Kesemua mangsa berumur antara 26 dan 60 tahun dan sehingga berita ini ditulis, misi mencari dan menyelamat masih dijalankan.
#George Town #lemas #Pantai Utara #pulau pinang #warga emas
;