Bot Karam di Mukah: SAR Hari kedua gagal temukan petunjuk baharu
Shafik Ahmad
September 23, 2022 17:29 MYT
September 23, 2022 17:29 MYT
MUKAH: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang mangsa bot karam di Perairan Mukah yang masuk hari kedua hari ini gagal menemukan sebarang petunjuk.
Mangsa terakhir merupakan pemancing yang dikenal pasti sebagai Wong Ik Kong berusia 62 tahun.
Menurut Penolong Pengarah Kanan Unit Carilamat dan Bantuan Bencana Maritim Sarawak, Leftenan Komander Maritim Nurrul Elmi Ali, sektor pencarian hari ini melibatkan keluasan 285 batu nautika persegi.
Operasi SAR turut menggerakkan aset udara dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menggunakan Eurocopter EC725 selain pesawat APMM CL415 Bombadier.
Menurut Nurul Elmi, keadaan laut bergelora ketika operasi carilamat dijalankan malah terdapat bot awam yang menyertai SAR terpaksa berpatah balik akibat cuaca buruk selepas keluar 13 batu nauika dari muara Mukah.
Setakat jam 5 petang ini, SAR dihentikan sementara waktu dan akan disambung semula esok.
Dalam kejadian Selasa lalu, sebuah bot pemancing bersama 11 penumpang termasuk tekong dan dua kru karam kira kira 34 batu nautika dari barat laut Mukah.
Sejak semalam, lapan mangsa telah ditemui selamat manakala dua lagi mangsa iaitu Sabli Jun (Tekong) dan Wong Siaw Tiang (Pemancing) disahkan meninggal dunia.