Bot karam di Mukah: Ops Carilamat bersambung esok, kesan seorang lagi mangsa

Shafik Ahmad
September 22, 2022 11:50 MYT
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa bot karam yang masih hilang di perairan Mukah akan disambung esok bermula jam 8 pagi. - Maritim Sarawak
MUKAH : Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa bot karam yang masih hilang di perairan Mukah akan disambung esok bermula jam 8 pagi.
Penolong Pengarah Kanan Unit Cari Lamat dan Bantuan Bencana Maritim Negeri Sarawak, Leftenan Komander Maritim Nurul Elmi Ali berkata Ops Carilamat yang dilaksanakan hari ini telah dihentikan jam 5 petang.
"Radius pencarian akan menumpukan di kawasan kira-kira dua hingga tiga batu nautika dari lokasi 10 mangsa ditemukan hari ini dan semalam.
"Mangsa yang masih hilang merupakan pemancing," katanya.
Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan identiti mangsa.
Dalam kejadian Selasa lalu, sebuah bot pemancing bersama 11 penumpang termasuk kru dan tekong dilaporkan karam di perairan Mukah.
Maklumat awal Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC APMM) Kuching, insiden tersebut membabitkan bot dengan nombor pendaftaran SF2-2837.
Bot tersebut telah keluar pada Isnin (19 Sept) dan dilaporkan berhadapan masalah enjin sebelum karam di kedudukan 34 batu nautika dari Barat Laut Mukah, kira-kira 8.30 malam pada Selasa.
Setakat ini lapan mangsa ditemukan selamat, manakala dua lagi disahkan meninggal dunia.
#Bot Karam Mukah #Ops Carilamat #Leftenan Komander Maritim Nurul Elmi Ali #mangsa hilang #SAR