Bot karam di Belaga: Operasi SAR diteruskan cari seorang lagi mangsa
Bernama
Disember 25, 2015 12:46 MYT
Disember 25, 2015 12:46 MYT
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa bot panjang karam di Long Buyun dekat Belaga diteruskan bermula 9 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Belaga DSP Melay Tingom ketika dihubungi berkata seorang lagi mangsa yang masih hilang ialah Sumitasen Thomas, 15.
"Operasi SAR hari ini disertai 55 orang terdiri daripada 14 anggota polis, empat anggota Unit Udara Bomba, 17 anggota Bomba dan Penyelamat Balai Bintulu, tujuh Polis Bantuan Empangan Hidro Bakun, 10 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan tiga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia," katanya.
Semalam operasi SAR menemukan dua mayat mangsa iaitu Adriana Rosnah, 12, dan Nur Amirsha, 4 tahun.
Mayat Sahirza Mahir, 31, ibu kepada Nur Amirsha dari Sipitang, Sabah sudah ditemui pagi Rabu.
Dalam kejadian 7 malam 22 Dis lepas, sebuah bot panjang yang dinaiki sembilan orang, seorang lelaki dan lapan wanita dalam perjalanan dari pecan Belaga ke Rumah Tanjung di Long Pawah karam berhampiran Long Buyun.
Lima mangsa, seorang lelaki dan empat wanita terselamat, bagaimanapun empat mangsa perempuan hilang dalam kejadian tersebut.