Bot karam di Bagan Datuk, nelayan dikhuatiri lemas
Bernama
Oktober 11, 2023 13:39 MYT
Oktober 11, 2023 13:39 MYT
IPOH: Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki karam di Kampung Pasang Api, dekat Hutan Melintang, Bagan Datuk awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan berkaitan insiden itu pada 1.12 pagi sebelum mengerahkan anggotanya ke lokasi kejadian.
"Setibanya jentera di lokasi kejadian kira-kira setengah jam kemudian, sebuah bot didapati telah karam di sungai dan tiga lelaki tempatan terlibat dalam kejadian itu.
"Dua mangsa telah diselamatkan orang awam, manakala seorang lagi mangsa yang berusia 40-an masih hilang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Sabarodzi operasi mencari mangsa ditangguhkan awal pagi tadi sebelum disambung semula pada kira-kira 9 pagi.
Beliau berkata pencarian mangsa menggunakan bot bersama Anggota Unit Pengesan (K9) dijalankan di sekitar kawasan Kampung Pasang Api hingga ke Beting Beras Basah.
-- BERNAMA