Bot karam: Budak lelaki hilang ditemukan lemas

Sinar Harian
Ogos 2, 2023 15:24 MYT
Mayat mangsa ditemukan pada jam 11.08 pagi Rabu oleh Maritim Malaysia yang melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian. - Gambar/ Sinar Harian
SANDAKAN: Kanak-kanak lelaki yang hilang dalam kejadian bot karam pada Selasa ditemui lemas di perairan Tanjung Batu di sini.
Mayat Romy Azlan, 7, ditemukan pada jam 11.08 pagi Rabu oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan Severinus@Mohd Nidzam Sainkui berkata, operasi SAR mangsa yang memasuki hari kedua dimulakan pada jam 9.28 pagi Rabu.
"Pada jam 11.08 pagi, mangsa dilaporkan telah ditemukan oleh pihak Maritim Malaysia iaitu 600 meter dari lokasi bot karam.
"Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, dengan penemuan mayat mangsa itu, operasi ditamatkan pada jam 12.03 tengah hari.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan mangsa hilang selepas bot yang dinaiki bersama lima lagi ahli keluarganya telah karam.
Sebelum itu, mereka dipercayai bertolak dari jeti Pulau Timbang menuju Ke Kampung Mumiang dan ketika dalam perjalanan bot telah terlanggar satu objek terapung sehingga menyebabkannya hilang kawalan lalu terbalik.
Akibat kejadian itu, kesemua mangsa terjatuh ke dalam air namun lima daripadanya berjaya diselamatkan. - Sinar Harian
#bot karam #Kanak-kanak #lemas #Sandakan
;