Bot karam: Berpantang maut sebelum ajal, 9 daripada 10 mangsa syukur ditemui

Afiezul Samit
Oktober 3, 2021 22:15 MYT
Sembilan daripada sepuluh pemancing yang dilaporkan hilang dijumpai selamat. - Gambar fail
KUCHING: Berpantang maut sebelum ajal, lebih 12 jam hanyut di lautan, tiada kata dapat diungkapkan selain syukur kepada Allah sebaik melihat lampu bot pancing berhampiran.
Situasi itu dilalui lapan orang pemancing dan seorang tekong yang bot dinaiki mereka karam di perairan Barat Laut Pulau Satang, dekat sini, pada Sabtu.
Semua mereka ditemui secara berperingkat oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR), pemancing dan nelayan tempatan sejak tengah malam tadi.
BACA: Bot karam, 10 pemancing dikhuatiri hilang di perairan Pulau Satang
BACA: Bot karam: 9 pemancing ditemukan selamat, SAR pembantu tekong diteruskan pagi ini
Sehingga kini, daripada 10 mangsa yang hilang hanya seorang lagi iaitu pembantu tekong , Awang Omar Awang Hamsawi, belum ditemui.
Abangnya, Awang Ali Awang Hamsawi, ketika ditemui hari ini, berkata dia sempat bertemu dengan sebahagian mangsa yang terselamat untuk mengetahui apa yang terjadi.
"Saya bertemu dengan tekong, Mohd Nazri Bojeng. Dia bersyukur sangat dan mengucapkan Alhamdulillah berulang kali sebaik ditemui bot pemancing di kawasan berkeanan.
"Dia juga menceritakan kali terakhir melihat adik saya sedang berusaha berenang menggunakan penutup bekas," katanya.
Menurutnya, Mohd Nazri memberitahu, bot mereka tiba di Pulau Satang jam 10.30 pagi Sabtu.
"Sekitar jam 12 tengah hari, mereka keluar menuju ke kawasan 'Culvert Gun' iaitu dua batu nautika dari Pulau Satang.
"Apabila sampai di kawasan tersebut, bot dikatakan hendak bersauh kerana laut pada ketika itu sedang bergelora.
"Namun, bot mula dimasuki air melalui bahagian tepi serta belakang dan telah tenggelam sepenuhnya dalam tempoh lebih kurang empat jam berikutnya," katanya.
Menyedari bot bakal karam, katanya tekong mengambil tindakan untuk melepaskan kesemua pemancing dan kru dengan membahagikan mereka kepada dua kumpulan.
"Kumpulan pertama diarahkan untuk berenang ke Pulau Satang manakala selebihnya berpaut pada bot sehingga bot tenggelam sementara berharap bantuan tiba.
"Tekong, Mohd Nazri merupakan orang terakhir meninggalkan bot itu selepas ia karam dan berenang untuk menyelamatkan diri. Dia kemudian ditemui bot pancing lain pada jam 12.30 malam Sabtu.
"Dia kemudian memaklumkan posisi pemancing dan kru yang lain (berenang ke arah Pulau Satang) dan berjaya menjumpai mereka semua kecuali pembantunya iaitu adik saya," katanya.
Dia kini berharap adiknya yang disifatkan rapat dengan keluarga dan rakan segera ditemui.
Sementara itu, Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, pihaknya percaya punca kejadian disebabkan ombak yang tinggi.
Katanya, terdapat amaran ribut petir yang mengakibatkan ombak di kawasan tersebut boleh mencecah satu sehingga dua meter.
Katanya, operasi SAR ditangguhkan jam 7 malam tadi disebabkan jarak penglihatan terhad dan akan disambung 7 pagi esok.
"Radio Emergency Drone Squad Sarawak (REDS) dari pihak bomba dan unit dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) akan dikerahkan bagi membantu operasi carilamat dari arah udara," katanya.
#bot karam #pemancing hilang #Pulau Satang #Sarawak
;