Bot karam: 9 pemancing ditemukan selamat, SAR pembantu tekong diteruskan pagi ini

Afiezul Samit
Oktober 3, 2021 09:32 MYT
Sehingga kini operasi carilamat masih giat dilaksanakan di perairan Pulau Satang pada jarak 2 batu nautika bermula jam 7 pagi, hari ini. -Astro AWANI
KUCHING: Sembilan daripada 10 pemancing yang dilaporkan hilang semalam dijumpai selamat.
Bagaimanapun, seorang lagi mangsa iaitu pembantu tekong, Awang Omar Awang Hamsawi masih gagal dijejaki.
Dalam kejadian pada jam 12.17 tengah hari Sabtu, bot dinaiki mereka karam di kedudukan perairan Barat Laut Pulau Satang kira-kira 21 batu nautika dari barat laut Pulau Satang Besar dekat Telaga Air di sini.
Antara yang terselamat ialah Zaharudin Yusof, Amri Abdullah, Mohd Firdaus Mohd Denan, Mohammad Redzuan Rasul, Mohd Sharin Sahir, Mohd Faris Azizan, Rais Yahya, Mohd Asri Ibrahim dan tekong bot dikenali sebagai Baki.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, kesemua mangsa dijumpai terapung di laut oleh komuniti nelayan di sekitar Pulau Satang Besar.
"Lima orang mangsa dijumpai sekitar jam 1.30 pagi, seterusnya menjumpai dua lagi mangsa.
"Bot nelayan telah memasuki jeti awam telaga setelah berjaya menemui dua lagi mangsa sekitar jam 5 pagi menjadikan keseluruhan mangsa selamat adalah seramai sembilan orang.
"Kesemua mangsa kini sedang berehat di kediaman masing-masing," katanya.
Sehingga kini operasi carilamat masih giat dilaksanakan di perairan Pulau Satang pada jarak 2 batu nautika bermula jam 7 pagi, hari ini.
#bot karam #pemancing hilang #pusat gerakan operasi #nelayan
;