Bot karam: 8 pemancing ditemui selamat, 2 masih hilang

Shafik Ahmad
Oktober 2, 2021 00:21 MYT
Kesemua mangsa yang selamat dilaporkan berpaut pada bot mereka selepas ia dipercayai terbalik akibat gelombang besar. - Gambar/ JBPM
KUCHING: Lapan daripada sepuluh pemancing yang dilaporkan hilang selepas bot yang dinaiki mereka karam kira-kira 21 batu nautika dari barat laut Pulau Satang Besar dekat Telaga Air di sini ditemui selamat.
Bagaimanapun, dua lagi mangsa iaitu Awang Omar Awang Hamsawi dan tekong bot yang dikenali sebagai Baki masih hilang dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan diteruskan esok.
Pihak berkuasa memaklumkan, kesemua mangsa yang selamat dilaporkan berpaut pada bot mereka selepas ia dipercayai terbalik akibat ombak besar.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya Latif Iring berkata, operasi SAR malam ini terpaksa ditangguhkan susulan keadaan cuaca gelap.
BACA: Bot karam, 10 pemancing dikhuatiri hilang di perairan Pulau Satang
“Operasi SAR akan disambung pada 7 pagi esok.
“Pihak Bomba bersama agensi APM Maritim berada di Jeti Telaga Air, Kampung Telaga Air, Kuching bagi bersedia sebarang kemungkinan, “ katanya ringkas ketika dihubungi.
#pemancing hilang #Pulau Satang #Kuching #bot karam
;