Bot Karam: 11 masih hilang, 179 diselamatkan

Bernama
Mei 28, 2013 23:16 MYT
Operasi mencari dan menyelamat mangsa bot ekspres karam di Sungai Rajang dekat Belaga akan diteruskan.
Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, 179 penumpang sudahpun diselamatkan manakala 11 lagi masih hilang.
"Nama dan butiran penumpang yang selamat telahpun diketahui. Nama mereka yang masih hilang sudah pun dikenalpasti juga menerusi temuramah bersama saudara-mara dan rakan-rakan yang selamat," kata beliau ketika dihubungi Astro AWANI.
Beliau juga menegaskan bahawa operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan sehingga kesemua dapat ditemui.
Ketika kejadian, jumlah penumpang yang menaiki bot Kawan Mas itu adalah seramai 184 orang namun jumlah yang dibenarkan adalah hanya 75 penumpang sahaja.
Bot ekspres yang sarat muatan itu dikatakan terhempas ke batu dan tenggelam di Jeram Tukok/Jeram Bungan, kira-kira empat jam perjalanan menghilir sungai dari Sibu.
Laporan yang sama juga berkata ramai dapat diselamatkan atas tindakan cepat oleh ADUN Belaga Liwan Lagang yang melihat kejadian dari helikopter.
"Saya nampak bot sedang tenggelam. Saya kemudian mendarat di pulau berdekatan. Saya juga meminta penduduk dari dua rumah panjang di kawasan berkenaan untuk menolong mangsa." kata beliau.
#Acryl Sani Abdullah Sani #Belaga #Kuching #search and rescue
;