Bot hilang: '25 orang terselamat, enam masih dicari' - Shahidan
Astro Awani
Januari 29, 2017 20:03 MYT
Januari 29, 2017 20:03 MYT
Seramai 25 orang terselamat sementara enam lagi masih hilang selepas bot jenis katamaran membawa pelancong China ke Pulau Mengalum pagi semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata, bot membawa 31 orang iaitu 28 pelancong China selain tekong serta dua kru warga tempatan, dipercayai pecah selepas dipukul ombak kuat ketika cuaca buruk sebelum karam.
"Pasukan pencari terdiri daripada pelbagai agensi penyelamat dan keselamatan mempergiatkan gerakan mengesan enam lagi mangsa yang hilang.
"Ini termasuk menggunakan pesawat EC725 yang mempunyai keupayaan menjalankan operasi SAR pada waktu malam," katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Sandakan, di sini, hari ini.
Terdahulu, tekong bot dikenali sebagai Reco, 20-an, serta tekong, Amman Abdul, 40, ditemui terapung di perairan antara Pulau Tiga dan Pulau Samarang kira-kira jam 2 petang Ahad.
Seramai 23 lagi mangsa dijumpai di perairan berhampiran Semarang di lokasi berasingan, iaitu lima ditemui oleh sebuah bot tunda dan masing-masing lapan serta 10 mangsa ditemui berasingan oleh dua bot nelayan.
Semua mangsa dibawa pulang oleh agensi penyelamat ke Kota Kinabalu.