Pihak polis mengesahkan bahawa 181 penumpang telah terselamat dalam insiden sebuah bot ekspres karam dalam perjalanan dari Belaga menuju ke Kapit pagi tadi.

Pada pukul 5 petang, ketua polis daerah Belaga DSP Bakar Sebau berkata 23 lagi masih hilang.

"Operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan," Bakar berkata kepada Astro AWANI.

Semua mangsa yang diselamatkan ditempatkan di dua rumah panjang berhampiran, Uma Panjang Tanjung dan Uma Panjang Dari.

Beliau berkata siasatan awal menunjukkan punca kemalangan tersebut adalah akibat terlebih muatan dan terlanggar batu di bahagian belakang.

Laporan The Borneo Post menyebut usaha mencari dan menyelamat diteruskan dengan bantuan penduduk dari dua buah rumah panjang berhampiran.

Pasukan polis bersama-sama anggota paramedik juga dilaporkan mula bergerak ke tempat kejadian dan dijangka akan tiba kira-kira jam tujuh petang nanti.

Insiden bot karam di Belaga
Foto memaparkan sebahagian penumpang sejurus sebelum berlepas dari jeti Belaga

Bot ekspres itu, dipercayai dari Syarikat Kawan Mas Bot Ekspress, dikatakan terlebih membawa penumpang yang kebanyakannya terdiri daripada orang Iban dan Orang Ulu yang berkerja dengan syarikat balak dari Bakun.

Mereka menuju ke Kapit untuk bercuti sempena sambutan Hari Gawai Dayak yang jatuh pada hujung minggu ini.

Laporan The Borneo Post menyebut insiden bot karam itu disaksikan dari udara oleh Menteri Muda Kebudayaan dan Warisan Sarawak, Liwan Lagang yang kebetulan sedang menaiki helikopter menuju ke Kuching.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Belaga dilaporkan menggerakkan bantuan kecemasan dengan kerjasama penduduk daripada dua buah rumah panjang berhampiran.




Laporan The Borneo Post memetik kenyataan Pejabat Daerah Belaga yang mengesahkan bot itu karam kira-kira pukul 9 pagi iaitu satu jam selepas ia meninggalkan Belaga.

Belaga jadi tumpuan ramai orang kerana majlis perhimpunan menjelang Hari Gawai yang berlangsung malam tadi.

Sementara itu, Ahli Majlis Daerah Kapit, Daniel Levoh dilaporkan berkata, bot berkenaan dipercayai membawa lebih 100 penumpang — melebihi had yang dibenarkan iaitu 74 penumpang dengan tempat duduk.

"Bot itu sepatutnya berhenti seperti biasa di Belaga tetapi ia tidak berhenti kerana sudah penuh," katanya dipetik oleh Bernama.

Beliau juga dilaporkan berkata, ada penumpang yang duduk di atas bumbung biarpun ia satu kesalahan.

Bot itu kemudian berlepas ke Kapit tanpa mengambil penumpang di Belaga.

Menurut Daniel, beliau menerima laporan seorang wanita mengandung antara yang terkorban tetapi masih menunggu pengesahan pihak polis yang berada di tempat kejadian.


BERITA LANJUT MENYUSUL