Bot dirempuh: Mayat nelayan jatuh sungai ditemui selepas dua hari
Adie Sufian Zulkefli
September 20, 2020 10:59 MYT
September 20, 2020 10:59 MYT
Seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki bersama abangnya dirempuh sebuah bot lain di muara sungai dekat jeti Pengkalan Segantang Garam, Merbok, ditemui lemas pagi ini.
Mayat Zulkifli Mohamad, 52 tahun, ditemui jam 8.10 pagi, kira-kira dua kilometer dari tempat dia dipercayai terjatuh, oleh sebuah bot nelayan tempatan yang turut menyertai usaha pencarian.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, operasi hari kedua hari ini melibatkan empat agensi penyelamat dan beberapa bot nelayan.
Ia membabitkan aset lima bot, dua daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan tiga lagi, masing-masing daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)
Operasi membabitkan 32 anggota dan pegawai serta lebih 60 nelayan tempatan.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak PDRM sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, untuk tindakan lanjut.
Dalam masa yang sama, Mahmad Faizal mengingatkan komuniti maritim supaya sentiasa waspada dengan cuaca dan keperluan memiliki Personal Locator Beacon (PLB) sebagai alat tambahan ketika menghadapi kecemasan di laut.
Alat berkenaan dapat membantu menyingkatkan tempoh masa pencarian dengan menghantar isyarat kecemasan berserta lokasi, katanya.
#bomba
#bot
#hilang
#jatuh
#jeti
#komuniti maritim
#Kuala Kedah
#lemas
#Mahmad Faizal Ahmad
#mangsa
#Merbok
#muara sungai
#nelayan
#Pengkalan Segantang Garam
#polis
#rempuh
#Sungai