Bot dirempuh: Hasrat Mohd Haris bertemu ayah tidak kesampaian
Adie Sufian Zulkefli
September 20, 2020 13:47 MYT
September 20, 2020 13:47 MYT
Hasrat seorang anak untuk bertemu ayahnya tidak kesampaian apabila nelayan itu ditemui lemas berhampiran jeti pelantar Sigantang Garam, Merbok, di sini, hari ini.
Mayat Zulkifli Mohamad, 52 tahun, ditemui dalam operasi mencari dan menyelamat, dua hari selepas dia terjatuh daripada bot yang dirempuh sebuah bot fiber ketika sedang menangkap ikan, kira-kira jam 10 malam, 18 September lalu.
Menurut Mohd Haris, 27 tahun, beberapa hari sebelum kejadian, dia ada menghantar mesej melalui WhatsApp meminta ayahnya supaya tidak turun ke laut kerana cuaca yang tidak menentu ketika ini.
Bagaimanapun, ayahnya tetap bertegas untuk ke laut bagi mencari rezeki.
Mohd Haris adalah anak sulung kepada Zulkifli, yang keluar menangkap ikan bersama abangnya, Jaafar, 57 tahun, pada 5.30 petang Jumaat lalu.
Bot mereka dirempuh sebuah bot fiber dalam kejadian kira-kira jam 10 malam hari yang sama, ketika mereka dikatakan dalam perjalanan pulang.
Mayat Zulkifli ditemui jam 8.10 pagi ini kira-kira dua kilometer dari tempat dia dipercayai terjatuh.
Mohd Haris berkata, dia memang tergerak hati untuk pulang dan bertemu ayahnya sejak Hari Raya Aidiladha lalu namun terlalu sibuk dengan kerja dan tidak dapat bertemu ayahnya yang menetap di Merbok.
Menurutnya, bapanya sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori namun berhenti kerja dan menjadi nelayan.
Tambahnya, sepanjang pencarian, dia berharap supaya bapanya ditemui selamat, namun dia reda dengan takdir apabila jasad bapanya ditemui hari ini.
#anak
#bomba
#bot
#bot dirempuh
#hari raya
#Kedah
#lemas
#mangsa
#mayat
#Merbok
#nelayan
#operasi
#rempuh
#Sungai Petani