Bot bocor, tenggelam: Maritim Perak selamatkan dua nelayan Indonesia

Aida Aziz
Mac 10, 2024 05:45 MYT
Menurut Maritim Perak, bot nelayan warga Indonesia mengalami kebocoran dan tenggelam ketika dalam pelayaran dari Pulau Langkawi menuju ke Lumut, Jumaat lalu. - Foto ihsan Maritim Perak
LUMUT: Dua nelayan warga Indonesia berjaya diselamatkan selepas bot yang dinaiki mereka bocor dan tenggelam pada jarak 53 batu nautika dari barat laut Pulau Perak, di sini, Jumaat lalu.
Menurut Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob, kedua-dua mangsa itu diselamatkan oleh bot tunda Bomber 1601.
"Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Perak telah menerima dua nelayan Indonesia yang diselamatkan oleh bot tunda Bomber 1601.
"Pusat Operasi Maritim Negeri Perak menerima panggilan daripada ejen bot tunda terbabit memaklumkan bot itu mengalami kebocoran dan tenggelam serta telah menyelamatkan dua nelayan ketika dalam pelayaran dari Pulau Langkawi menuju ke Lumut," katanya semalam.
Mohamad Shukri berkata, dua mangsa itu dikenali sebagai M Jabar, 38 tahun, dan Musliadi M Aji, 44 tahun, berasal dari Kabupaten Acheh Timur, Indonesia.
Tambahnya, mereka berada dalam keadaan sihat dan selamat serta diserahkan kepada Maritim Perak bagi tindakan lanjut.
Tegasnya lagi, Maritim Malaysia menasihatkan komuniti maritim untuk mematuhi peraturan serta menjaga keselamatan diri apabila turun ke laut khususnya ketika keadaan laut tidak menentu.
Komuniti maritim juga disarankan untuk memastikan segala keperluan peralatan keselamatan dalam keadaan baik khususnya ketika melakukan aktiviti menangkap ikan sebagai langkah awal menyelamatkan diri dari kecelakaan di laut sementara menanti pasukan menyelamat tiba.
Untuk sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di 05-6838737 atau MERS 999.
#bot bocor #dua nelayan Indonesia #Maritim Perak #bot tunda Bomber 1601
;