Bot berlanggar: Pemancing hilang ditemukan mati, tersangkut di pukat
Bernama
September 5, 2022 22:49 MYT
September 5, 2022 22:49 MYT
JOHOR BAHRU: Pemancing yang dilaporkan hilang selepas pelanggaran dua bot di Kampung Sungai Sembayong, Tanjung Sedili, Kota Tinggi, petang semalam, ditemukan mati tersangkut di pukat bot nelayan, petang tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Rafiee A Karim, berkata mayat lelaki berusia 33 tahun itu yang hanya dikenali sebagai Fauzi, ditemukan pada jam 3.20 petang, kira-kira 300 meter (m) dari lokasi kejadian.
"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi tamat sepenuhnya pada 5.15 petang," katanya dalam satu kenyataan, malam ini.
Terdahulu, Rafiee berkata operasi mencari dan menyelamat dibahagikan kepada dua pasukan dengan menggunakan dua unit bot aluminium.
"Operasi pencarian dilakukan dalam radius 400m dari kawasan mangsa dipercayai jatuh (daripada bot) dengan menggunakan teknik pencarian di permukaan air dan selaman.
"Operasi pencarian turut dibantu oleh orang kampung dan beberapa buah bot nelayan tempatan," kata beliau.
Pada kejadian semalam, tiga pemancing dilaporkan terjatuh selepas pelanggaran dua bot tersebut.
Bagaimanapun, dua pemancing dikenali sebagai Mohd Mumtaz Hamzah, 38, dan Kamisan, 31, berjaya diselamatkan orang awam manakala Fauzi dilaporkan hilang pada kejadian kira-kira 5 petang itu.
-- BERNAMA