Bot bawa 27 PATI karam di perairan Teluk Ramunia, 2 maut, 6 hilang
Aiman Hakeem Awazmin
Januari 20, 2022 10:31 MYT
Januari 20, 2022 10:31 MYT
KOTA TINGGI: Sebuah bot yang membawa 27 pendatang asing tanpa izin (PATI) karam di perairan Teluk Ramunia, Pengerang, dekat sini, awal pagi ini.
Menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), setakat ini, 19 daripada mereka selamat sementara dua ditemukan lemas dan enam masih hilang.
Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, insiden berlaku di kedudukan 0.8 batu nautika dari Teluk Ramunia, pada jam 4.50 pagi.
Menurutnya, terdahulu, Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim Malaysia mengesan satu sasaran mencurigakan sedang bergerak dari Pulau Bintan, Indonesia menuju ke perairan negara.
Maklumat itu kemudian disalurkan kepada aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Sri Indera Sakti yang sedang dalam penugasan Op Benteng.
Nurul Hizam berkata, aset TLDM itu mengesan sasaran mencurigakan itu pada jam 4.10 pagi, sebelum bot berkenaan bertindak melarikan diri secara agresif dan merbahaya.
Ini menyebabkan bot membawa PATI itu terbalik dan karam di lokasi kejadian.
Menurutnya, berikutan insiden itu, MRSC Johor Bahru mengaktifkan Op Carilamat pada jam 6.40 pagi tadi bagi mengesan baki mangsa yang hilang.
Ini merupakan insiden bot karam kedua dalam minggu ini.
Selasa lalu, tujuh PATI dilaporkan hilang selepas bot dinaiki dibadai ombak di perairan Pontian.
Seorang daripada mereka terselamat, manakala enam lagi ditemukan lemas.