'Bosan duduk rumah, keluar berjudi'

Sinar Harian
Februari 7, 2021 11:36 MYT
Ketika serbuan kesemua mereka sedang leka berjudi sehingga tidak sedar kehadiran anggota polis. - Sinar Harian
GEORGE TOWN: Bosan kerana terlalu lama duduk di rumah dan keluar sekadar mahu berjumpa kawan.
Itu antara alasan yang diberikan 20 individu yang hampir ke semuanya warga emas ketika ditahan dalam sebuah rumah sewa yang dijadikan markas untuk berjudi di Air Itam di sini pada pagi Ahad.
Serbuan dilakukan Bahagian Kongsi Gelap, Judi & Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pulau Pinang kira-kira jam 1 pagi hasil daripada intipan yang dilakukan sejak seminggu lalu.
Menurut sumber ketika serbuan kesemua mereka sedang leka berjudi sehingga tidak sedar kehadiran anggota polis.
Katanya, kesemua mereka kelihatan terkejut dan tidak sempat melarikan diri malah ada dalam kalangan mereka merayu agar dilepaskan kerana mahu menyambut perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.
"Pemeriksaan di lokasi berkenaan menjumpai peralatan untuk berjudi seperti daun terup, batu mahjong selain wang tunai di atas meja berjumlah RM1,350.
"Mereka yang ditahan terdiri daripada lima wanita dan 15 lelaki berusia antara 50 hingga 70 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra'ais ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.
Katanya, mereka akan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 4(1) ARJT 1953 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Perkara 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
#PKP #COVID-19 #warga emas #ditahan #rumah sewa #berjudi
;