Borang e-consent lancarkan proses suntikan booster - Irmohizam

Umavathi Ramayah
Januari 15, 2022 18:01 MYT
Irmohizam berkata, pada kali ini dengan adanya borang persetujuan secara dalam talian, proses untuk mendapatkan vaksin lebih lancar dan pantas. - Gambar fail/WTC
KUALA LUMPUR: Hari ini Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur kembali meriah dengan pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega bagi Program Imunisasi COVID-19 (PICK) Penggalak.
Pengarah Urusan WTC Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, pada kali ini dengan adanya borang persetujuan secara dalam talian, proses untuk mendapatkan vaksin lebih lancar dan pantas.
Justeru itu katanya, pemberian 9,000 suntikan sehari akan ditingkatkan kepada 20,000 secara berperingkat.
"Buat julung kalinya, kami mempromosikan paperless iaitu borang e-consent dimana mereka boleh memberi maklum balas secara dalam talian tanpa perlu menulis dalam kertas. Ini akan dan ia mempercepatkan lagi perjalanan setiap penerimaan vaksin.
"Ini penting dalam memastikan sebarang bentuk kesesakan dan memastikan masa yang diperuntukkan kepada penerima vaksin dipendekkan serta tidak terganggu dalam sebarang permasalahan," katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Sabtu.
COVID-19 | Borang e-consent lancarkan proses suntikan booster
Mengulas lanjut, Irmohizam memberitahu, PPV WTCKL juga mesra orang kurang upaya (OKU) dan warga emas dengan menyediakan kerusi roda serta laluan-laluan khas serta bantuan sukarelawan.
Sebelum ini di bawah program PICK, sebanyak 1.3 juta dos vaksin AstraZeneca diberikan kepada 645,000 individu dengan PPC WTCKL merekodkan pemberian suntikan terbanyak di negara ini.
Dalam pada itu, rata-rata penerima dos penggalak yang ditemui di PPV WTC KL menyifatkan dos penggalak itu penting sebagai langkah waspada ketika dunia mendepani varian-varian baharu COVID-19.
Seorang bekas peguam, Alithea Wong Wy Zhen, 32, memberitahu, dia menerima sebarang jenis vaksin yang disediakan kerajaan.
"Bagi saya, apa jenis vaksin sekalipun, saya terima. Sebelum ini bagi dos pertama dan kedua, saya mendapat vaksin AstraZeneca dan saya tidak mendapat sebarang gejala pasca vaksin.
"Saya rasa semua perlu mendapatkan suntikan vaksin, lagi ramai orang divaksinasi, lebih selamat kita semua.
"Macam saya, kerja saya memerlukan saya berjumpa dengan ramai orang dan saya lebih selesa bertemu dengan mereka yang sudah melengkapkan vaksin mereka," katanya.
Bagi seorang suri rumah, Syazana Amiruddin, 34, pengambilan dos penggalak ini dibuat atas kesedaran diri sendiri.
"ibu bapa saya juga sudah ambil (dos penggalak), kesihatan mereka baik," katanya.
Dalam pada itu, tinjauan Astro AWANI pada Sabtu mendapati pergerakan keluar masuk penerima vaksin lancar dan pantas.
Nur Adilah Shabery, 33, memberitahu, walaupun jumlah penerima vaksin ramai, namun proses untuk mendapatkan vaksin dari satu stesen dan ke stesen lain begerak lancar dan mudah.
"Selepas disuntik, tak sampai 30 minit dah selesai," katanya.
#COVID-19 #Pusat Pemberian Vaksin #AstraZeneca #dos penggalak #Irmohizam Ibrahim
;