Bonus untuk kakitangan Kastam Diraja Malaysia

Hakim Rahman
Januari 26, 2013 15:42 MYT
Menteri Kewangan Dua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanazlah hari ini mengumumkan bonus setengah bulan gaji kepada 12,500 kakitangan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).
Bonus itu diberikan sebagai menghargai usaha dan peranan jabatan tersebut yang berjaya memungut hasil tertinggi pada tahun lalu iaitu sebanyak RM32.3 bilion.
"Kastam telah mencapai prestasi mereka dalam kontek bahawa pemcapaian tahun lalu adalah tertinggi dalam sejarah mereka dan tahun lalu mereka telah capai lebih dari tahun sebelum tetapi kita tidak memberikan insentif dan kerana itu kita bagi setengah bulan bonus kepada mereka," jelasnya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Kastam Sedunia ke-31 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Bagaimanapun tarikh pemberian bonus tersebut akan diumumkan kemudian.
Tambah Husni, pihaknya memberi penghargaan berdasarkan pencapaian dan prestasi baik pada tahun sebelumnya.
Jabatan berkenaan menunjukkan meningkatan hasil kutipan saban tahun dengan RM28.36 bilion pada tahun 2010, RM30.8 bilion pada 2011 dan RM32.3 bilion pada tahun lalu.
Dalam masa sama Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata pihaknya mensasarkan pungutan hasil sebanyak RM34 billion bagi tahun 2013.
Jelasnya beberapa strategi telah dirangka bagi mencapai sasaran berkenaan.
"Kita akan memberi fokus kepada verifikasi harga barangan pengilangan tempatan dan melaksanakan operasi melesenkan pengilang-pengilang dan syarikat yang tertakluk kepada cukai jualan dan perkhidmatan,” jelas Khazali.
Tambahnya lagi pihaknya komited dalam meningkatkan aktiviti penguatkuasaan bagi mencegah penyeludupan dan pelaksanaan operasi pelesenan kilang dan syarikat,” jelasnya.
#bonus #Datuk Seri Ahmad Husni Hanazlah #kastam
;