Bonus penjawat awam Selangor akan ikut KPI - Amirudin
Wan Syamsul Amly
November 23, 2018 05:11 MYT
November 23, 2018 05:11 MYT
Pembayaran bonus untuk penjawat awam di Selangor pada tahun hadapan akan mengikut sistem Petunjuk Prestasi Utama (KPI) masing-masing.
Menteri Besar Amirudin Shari berkata, ia sekali gus satu ketetapan tiada lagi pembayaran bonus secara langsung kepada penjawat awam seperti yang diamalkan sebelum ini.
"Pada tahun hadapan, jabatan kerajaan akan bekerjasama dengan ketua jabatan dalam menentukannya (pembayaran bonus) dan kita menetapkannya mengikut KPI.
"Tidak mustahil kita boleh tetapkan bayaran khas lebih daripada tiga bulan tetapi bergantung kepada prestasi setiap jabatan.
"Hanya yang layak sahaja akan dapat dan yang tidak layak perlu berusaha lagi," katanya ketika pembentangan Belanjawan Selangor 2019 berjumlah RM2.56 bilion pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, pada Jumaat.
Amirudin kali pertama membentangkan belanjawan sejak dilantik sebagai menteri besar pada Jun lepas.
Dalam pada itu katanya, Belanjawan Selangor 2019 menekankan kepada enam teras utama iaitu infrastruktur, ekonomi, pendidikan, sosial, luar bandar dan kesihatan.
Ia memberi tumpuan kepada pembangunan fizikal dengan sebanyak 39.1 peratus atau RM500.2 juta dianggarkan untuk menampung perbelanjaan pembangunan infrastruktur.
Kata Amirudin, perbelanjaan infrastruktur itu akan mendokong perkembangan ekonomi Selangor dengan peruntukan RM333.8 juta atau 26.1 peratus bagi memacu ekonomi negeri untuk terus berkembang dan mampan pada 2019.
Sementara itu, pada sidang media selepas pembentangan itu, menteri besar berkata pemberian air percuma di Selangor yang akan ditambah daripada 20 meter padu kepada 25 meter padu sebulan mulai tahun depan hanya untuk golongan B40 yang berdaftar serta mempunyai data dengan program E-Kasih.
"Kerajaan Selangor akan membuat penjajaran semula peruntukan Program Air Percuma dengan tumpuan diberi kepada kumpulan sasar yang berada dalam golongan B40," katanya.
Beliau bagaimanapun berkata pihaknya akan berbincang dengan pihak pengurusan Air Selangor bagi menentukan mekanisme pelaksanaan pemberian air percuma itu.
Berhubung defisit bajet yang dianggarkan berada pada kadar 17 peratus iaitu bersamaan RM360 juta tahun depan, Amirudin berkata kadar itu adalah munasabah dan berdaya saing.
Beliau berkata prestasi kerajaan Pakatan Harapan Selangor selama 10 tahun memerintah negeri itu menunjukkan ia dapat mengurangkan defisit bajet secara berperingkat.
Amirudin turut menjangkakan kutipan hasil di Selangor rendah pada tahun ini dan pihaknya terpaksa mencari sumber baharu bagi menampung perbelanjaan.
Persidangan DUN bersambung Isnin depan.
#Air percuma
#Air Selangor
#Amirudin Shari
#bayaran khas
#belanjawan selangor
#bonus
#defisit bajet
#ekonomi
#Infrastruktur
#Ketua Jabatan
#KPI
#kutipan hasil
#Menteri Besar
#pembangunan fizikal
#penjawat awam
#Selangor