'Bonus' dua bulan gaji jika capai sasaran kutipan hasil - MB Pahang

Sinar Harian
Januari 9, 2024 12:31 MYT
Wan Rosdy (depan, tengah) pada Majlis Perjumpaan Menteri Besar Pahang Bersama Penjawat Awam Negeri Pahang pada Selasa. - Foto Sinar Harian
KUANTAN: Kerajaan Pahang menetapkan sasaran kutipan hasil RM1.137 bilion tahun ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sasaran itu mampu dicapai berdasarkan prestasi kerajaan negeri yang berjaya mencapai kutipan hasil melebihi RM1 bilion dua tahun berturut-turut.
Menurutnya, sehingga akhir tahun lalu, kutipan hasil kerajaan negeri mencecah RM1.306 bilion mengatasi RM1.28 bilion kutipan hasil tahun 2022.
"Namun begitu, sekiranya kutipan hasil tahun ini mencapai RM1.6 bilion, Insya-Allah saya beri jaminan bantuan khas kewangan kepada penjawat awam negeri akan ditingkatkan kepada dua bulan gaji tahun depan berbanding satu setengah bulan tahun ini.
"Ia sebagai motivasi kepada penjawat awam untuk mengekalkan kecemerlangan dan terus bekerja kuat memberi perkhidmatan kepada rakyat serta mencapai kutipan hasil seperti yang disasarkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perjumpaan Menteri Besar Pahang Bersama Penjawat Awam Negeri Pahang di sini pada Selasa.
Wan Rosdy berkata, pencapaian itu penting bagi menunjukkan kerajaan negeri yang ada hari ini stabil dan setiap perancangannya dapat dilaksanakan dengan betul dan menepati sasaran.


"Untuk mencapai sasaran itu bukan mudah justeru semua penjawat awam negeri perlu bersama menggembleng tenaga, terutamanya dalam mengurus ketirisan dan kebocoran hasil, di samping meneroka potensi-potensi pendapatan baharu yang boleh membantu meningkatkan kewangan kerajaan negeri," katanya.
Dalam ucapannya sebelum itu, Wan Rosdy mengingatkan penjawat awam supaya tidak boleh kekal selesa pada sesuatu tahap pencapaian sahaja sebaliknya mereka perlu berani berhadapan dan menangani perubahan persekitaran.
"Ekspektasi rakyat terhadap perkhidmatan awam semakin hari semakin tinggi dan sudah tentunya memerlukan pembaharuan yang berterusan supaya kita sentiasa responsif, relevan dan berkesan dalam memenuhi permintaan dan harapan rakyat.
"Saya menyeru kepada semua penjawat awam supaya terus memberikan perkhidmatan terbaik dengan memastikan jentera kerajaan dapat bergerak dengan berkesan, melaksanakan dasar dan menjayakan setiap aspirasi yang telah disusun," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Wan Rosdy berkata, pada sesi perbincangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya pada Isnin, beberapa permohonan berkaitan masalah jalan persekutuan dan bekalan air telah dikemukakan untuk pertimbangan kerajaan.
"Semua ini demi kepentingan rakyat kerana kita tahu di Pahang ini ada masalah berkaitan jalan persekutuan, dan masalah bekalan air jadi kita mohon peruntukkan untuk selesaikan masalah itu.
"Diharapkan permohonan tersebut akan dipertimbangkan kerana ia untuk rakyat dan dua isu itu antara yang perlu diselesaikan segera," katanya.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#Kerajaan negeri Pahang #kutipan hasil #penjawat awam #Wan Rosdy Wan Ismail #bonus
;