Bonus dua bulan gaji buat penjawat awam Sarawak
Bernama
November 13, 2019 18:34 MYT
November 13, 2019 18:34 MYT
Semua penjawat awam negeri Sarawak akan menerima bonus dua bulan gaji atau minimum RM2,000, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Beliau yang juga Menteri Kewangan dan perancangan Ekonomi negeri berkata, bayaran bonus itu akan dibuat hujung bulan Disember.
"Kerajaan negeri Sarawak mengiktiraf sokongan serta sumbangan oleh semua penjawat awam negeri di bawah kepimpinan Setiausaha Kerajaan Negeri dalam melaksanakan dasar-dasar kita, program serta projek-projek pembangunan dan juga perkhidmatan awam kepada rakyat.
"Sukacita saya nyatakan di sini bahawa perkhidmatan awam Sarawak amat penting dalam memastikan bahawa projek-projek pembangunan dilaksanakan mengikut tempoh masa yang tepat," katanya semasa bacaan kedua Rang Undang-undang Perbekalan 2019 di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak, di sini hari ini.
Abang Johari berkata perkhidmatan awam Sarawak boleh dianggap sebagai antara yang terbaik dalam negara. - BERNAMA