Bonus dikecuali cukai: Cuepacs sifatkan keputusan PM Anwar munasabah

Astro Awani
Januari 20, 2023 16:39 MYT
Adnan berkata, kebanyakan jumlah bonus yang diterima penjawat awam negeri termasuklah di peringkat Persekutuan tidak tinggi iaitu purata sekitar RM700 sehingga RM2,000 setiap seorang. - Fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR : Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengecualikan cukai ke atas pemberian bonus atau bantuan khas kewangan kepada kakitangan awam di semua negeri.
Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, kebanyakan jumlah bonus yang diterima penjawat awam negeri termasuklah di peringkat Persekutuan tidak tinggi iaitu purata sekitar RM700 sehingga RM2,000 setiap seorang.
"Sekiranya jumlah tersebut dikecualikan daripada cukai pendapatan, ia tidak menjejaskan hasil atau sasaran kutipan cukai oleh kerajaan. Bahkan Cuepacs sendiri difahamkan bahawa kutipan cukai yang berjaya dikutip oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri telah berjaya melebihi sasaran yang ditetapkan pada 2022," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Penjawat Awam | Bonus di semua negeri dikecualikan cukai
Ujarnya, bonus yang diterima itu juga sebenarnya bersifat bantuan khas yang diberikan oleh kerajaan negeri bagi memberi sedikit penghargaan serta meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh penjawat awam.
"Terdapat juga kerajaan negeri yang membuat bayaran secara berperingkat mengikut fasa dan tidak berbentuk sekali gus," tambah beliau.
Justeru katanya, pertimbangan Perdana Menteri itu juga adalah munasabah dan amat memahami soal kebajikan warga penjawat awam.
"Adalah tidak wajar jika ia tetap dikenakan cukai pendapatan memandangkan nilainya yang tidak begitu tinggi dan bersifat untuk membantu warga penjawat awam," kata beliau.
#cuepacs #penjawat awam #Adnan Mat #bonus
;