Bongkah batu 12 tan jatuh di Jalan Paya Terubong
Astro Awani
September 23, 2017 17:00 MYT
September 23, 2017 17:00 MYT
Bongkah batu dianggarkan seberat 12 tan dilaporkan jatuh secara tiba-tiba dan menghalang lalulintas di Jalan Paya Terubong, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, bongkah batu runtuh dari tebing bukit, namun ia tidak menimpa kenderaan yang lalu lalang di laluan tersebut.
Kejadian itu menyebabkan kesesakan trafik sejauh tiga kilometer di kedua-dua belah arah jalan berkenaan.
Tiada kecederaan dan kerosakan membabitkan pengguna jalan raya dan kenderaan dilaporkan.
Sementara itu Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Ir Ahmad Redza Ghulam Rasool ketika dihubungi berkata, pihaknya telah berada di tempat kejadian bagi memantau keadaan.
Katanya, sehingga kini, usaha mengalihkan batu di laluan berkenaan masih dijalankan pihak konsesi JKR dan juga Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).