'Bonda Ratu' dibebas dengan jaminan polis
Bernama
Januari 11, 2016 22:52 MYT
Januari 11, 2016 22:52 MYT
Wanita yang mendakwa dirinya 'Bonda Ratu' bersama suaminya, yang dipercayai merancang untuk menganjurkan majlis penganugerahan darjah kebesaran di Sungai Rambai, Jasin, Sabtu lepas, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Ketua Polis Daerah Jasin, DSP Sampornak Ismail berkata pasangan berusia 40-an itu direman selama empat hari bermula Jumaat lepas bagi membantu siasatan mengenai penganjuran majlis penganugerahan tidak diiktiraf itu.
"Pasangan itu dibebaskan tetapi siasatan terhadap kes tersebut masih dijalankan," katanya kepada pemberita di sini.
Polis menahan pasangan itu di kediaman mereka di Sungai Rambai pada kira-kira 2 petang Khamis lepas selepas menerima laporan orang ramai yang menerima jemputan ke majlis 'Penganugerahan Salasilah Keturunan Raja Tiang Bongkok Kesultanan Alam Kerinchi Tinggi Nan Sakti'.
Pasangan itu mendakwa mereka adalah pewaris takhta Kesultanan Melayu Melaka.