Bon Odori: Sisters In Islam bidas kenyataan Menteri, Mufti dan Pas

Astro Awani
Jun 11, 2022 17:31 MYT
Sisters In Islam mempersoalkan adakah Bon Odori selepas ini terhad kepada bukan Muslim sahaja dan adakah penganjur dari Jepun akan mengkaji semula program itu yang selama ini diadakan secara tahunan.
KUALA LUMPUR: Sisters In Islam membidas beberapa kenyataan berhubung festival Bon Odori yang dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, beberapa Mufti bahkan parti politik seperti Pas.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu mendakwa kenyataan sebegitu seakan terus menggalakkan sikap tidak bertoleransi dalam masyarakat majmuk dan pelbagai budaya di Malaysia.
Mereka juga mempersoalkan, dengan kenyataan sebegitu, adakah Bon Odori selepas ini terhad kepada bukan Muslim sahaja dan adakah penganjur dari Jepun akan mengkaji semula program itu yang selama ini diadakan secara tahunan.
BACA: Umat Islam dinasihat tidak sertai Festival Bon Odori
“Islam tidak seharusnya dijadikan punca kesukaran bagi umat Islam untuk hidup bersama dengan orang yang berbeza kepercayaan dan budaya. Inklusiviti adalah salah satu ciri penting untuk hidup dalam suasana berlainan budaya yang harmoni.
“Sejak dua tahun lalu, rakyat Malaysia telah dibanjiri dengan cabaran ketidakstabilan politik dan ekonomi, pandemik COVID-19, keselamatan makanan dan isu perubahan iklim dan beberapa perkara lain.
[TERKINI] Sultan Selangor titah menteri agama hadir Festival Bon Odori
“Dengan semua penderitaan ini, bolehkah kita tidak membuang masa, tenaga dan kapasiti intelek kita pada keputusan taksub ini,” kata Sisters In Islam dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Dakwanya, kenyataan terutamanya dari Pas secara tidak langsung mengisytiharkan Bon Odori sebagai haram, sama seperti yang dilakukan kepada Mak Yong pada 1991.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan, Dewan Ulamak Pas Pusat menyarankan agar umat Islam tidak menyertai Festival Bon Odori kerana mendakwa terdapat unsur-unsur keagamaan di dalamnya.
Festival Bon Odori | Alasan kebudayaan Jepun tidak cukup merit - PAS
Menurut ketuanya, Senator Datuk Ahmad Yahya, meskipun terdapat pandangan yang menjelaskan festival tersebut turut berkait dengan kebudayaan Jepun, namun tidak sesekali mengetepikan pandangan bahawa ia mengandungi unsur ritual keagamaan Buddha.
Tambah beliau, prinsip itu selaras dengan beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh para mufti, pengkaji agama serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini menitahkan Idris untuk hadir ke program Bon Odori supaya dapat memahami perbezaan di antara agama dan budaya.
Baginda juga tidak mahu Menteri itu menggunakan platform Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk membuat kenyataan mengelirukan dan tidak tepat.
Perbuatan itu juga dianggap boleh menjejaskan imej dan reputasi jabatan tersebut, titahnya dalam satu kenyataan pada Khamis.
#Bon Odori #PAS #sisters in islam #festival
;