Bon Odori: Kenyataan Roslan Shahrir jauh tersasar - Mohamad Munir
Hilmi Malik
Jun 17, 2022 17:39 MYT
Jun 17, 2022 17:39 MYT
KUALA LUMPUR : Kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahrir mengenai perayaan Bon Odori disifatkan sebagai tidak tepat susulan pertemuan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama pesuruhjaya negeri parti itu, Ahmad Yunus Hairi pada Selasa.
Setiausaha Sulit Baginda, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, apa yang digambarkan pada pertemuan itu dianggap jauh tersasar.
“Adalah ditegaskan bahawa kenyataan ini adalah tidak tepat sama sekali dan tidak sebenarnya berlaku ketika Pesuruhjaya Pas Selangor, Ahmad Yunus Hairi menghadap Duli Yang Maha Sultan Selangor pada tarikh berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Jelas Munir, apa yang berlaku ketika pertemuan tersebut adalah pandangan Sultan Sharafuddin yang tidak menyekat perayaan berkenaan di Selangor serta pandangan Baginda yang menyifatkan ia hanya sebagai satu unsur kebudayaan.
“Baginda juga tidak menghalang mana-mana orang lslam untuk menghadirinya sehinggalah satu kajian mendalam dilakukan terhadap festival berkenaan, sama ada ia berunsur keagamaan atau kebudayaan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, khususnya masyarakat Islam,” katanya lagi.
Bahkan, kenyataan Yunus pada Khamis yang menjelaskan pertemuan itu juga sekali gus menyangkal gambaran yang dinyatakan oleh Roslan.
Sebuah laporan sebelum ini memetik Roslan sebagai berkata: “Baginda ingin tahu pendirian kami berhubung perayaan Bon Odori. Baginda memberi pandangan dan kami juga sampaikan pandangan kepada baginda bahawa kami menghormati pendirian baginda.”
Turut hadir pada sesi menghadap di Istana Bukit Kayangan Shah Alam itu adalah Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Abdul Aziz Mohd Yusof.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, yang juga Naib Presiden Pas, menasihati umat Islam supaya tidak menghadiri perayaan Bon Odori kerana terdapat unsur keagamaan lain.
Perayaan tahunan itu yang dianjurkan oleh masyarakat Jepun di Malaysia diadakan semula selepas berehat selama dua tahun disebabkan wabak COVID-19.
Ia akan diadakan di Shah Alam pada 16 Julai dan Pulau Pinang pada 30 Julai.