Bomba teruskan pencarian Mohammad Ashraf sehingga ditemukan
Bernama
April 7, 2019 05:02 MYT
April 7, 2019 05:02 MYT
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tidak akan menghentikan operasi mencari dan menyelamat (SAR) peserta Gopeng Ultra Trail, Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang dilaporkan hilang pada 23 Mac lalu, selagi tidak menemukan mangsa.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM Datuk Soiman Jahid berkata pencarian dalam skala kecil diteruskan membabitkan radius satu kilometer (km) dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
"Berdasarkan pengalaman kita, terdapat dua kemungkinan berlaku terhadap Mohammad Ashraf sama ada tergelincir jatuh di kawasan curam sehingga berada di tempat tersembunyi atau tersesat sehingga mengalami masalah kesihatan serta tidak sedarkan diri," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Perasmian Pembukaan Perkhemahan Kadet Bomba dan Penyelamat Malaysia Peringkat Kebangsaan Kali Ke-29 di sini, pada Ahad.
Turut hadir Pengarah JBPM Kelantan Penolong Pesuruhjaya Bomba Md Salleh Sarbini.
Perkhemahan selama lima hari bermula hari ini membabitkan 704 orang kadet daripada 16 kontinjen dari seluruh negeri.
Mengulas lanjut, Soiman yakin mangsa masih berada di lokasi berdekatan tetapi lokasinya belum dikenal pasti.
Beliau berkata kehilangan Mohammad Ashraf berkemungkinan seperti kes kehilangan tujuh kanak-kanak Orang Asli di Pos Tohoi, Gua Musang empat tahun lalu apabila mangsa ditemukan dalam jarak 500 meter dari lokasi mereka hilang.
Dalam pada itu beliau memohon supaya semua pihak dapat mendoakan supaya operasi pencarian dipermudahkan dan mangsa segera ditemukan.
-- BERNAMA
#bomba
#Gopeng Ultra Trail
#JBPM
#mencari dan menyelamat
#Mohammad Ashraf Hassan
#pelari hilang
#peserta larian
#SAR